Sabtu, 28 Juni 2014

TUDUHAN DAN FITNAH TERHADAP WAHABI



Terlalu banyak fitnah-fitnah daripada kalangan mereka yang membenci wahabi (salafi) sedangkan tidak ada apa yang baru di bawa oleh mereka melainkan apa yang telah termaktub di dalam Al-Qur’an dan juga Hadis-hadis. Tapi malangnya mereka (anti wahabi) tidak mahu pun merujuk Qur’an dan Hadis atau merujuk pandangan ulama-ulama salaf atau merujuk sendiri buku-buku Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab yang sudah pun dijawab beliau segala tuduhan-tuduhan ke atas diri beliau. Ini kerana Islam tidak suruh umatnya menerima terus khabar atau berita yang tidak diketahui sejauh mana kebenarannya tetapi hendaklah diteliti terlebih dahulu berita tersebut. Firman Alloh Subhaanahu wa Ta’ala:

“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang Fasik membawa suatu berita, Maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [1]

Di kalangan anti-wahabi banyak membuat risalah-risalah untuk menyebarluaskan kesesatan kaum wahabi. Malah saya sendiri telah menemui blog-blog dan laman web di internet yang mengumpul semua fitnah-fitnah mereka ini. [2] Antara lain yang paling popular ialah:

Muhammad bin Abdul Wahab berpegang dengan aqidah Ibn Taimiyyah yaitu fahaman Tajsim [3] atau Tasybih. 
Padahal yang sebenarnya fahaman Ibn Taimiyyah tidaklah begitu. 
Kita lihat kata Ibn Taimiyyah dalam kitabnya “Al-Aqidah Al-Wasitiyyah” :

“Maka ini adalah i’tiqad firqoh najiah (kaum yang selamat) Ahli Sunnah Wal Jamaah yang beroleh pertolongan sehingga hari Kiamat, yaitu beriman dengan Alloh Subhaanahu wa Ta’ala … Dan di antara (cara) beriman dengan Alloh Subhaanahu wa Ta’ala ialah beriman dengan apa yang Dia telah sifatkan diri Nya dengannya dalam kitab Nya dan dengan apa yang telah Rasul Nya Muhammad Shollalloohu ‘alaihi wa sallam menyifatkan Nya dengannya, tanpa tahrif (mengubah atau menukar ganti makna), tanpa ta’til (menafikan sifat bagi Alloh Subhaanahu wa Ta’ala), tanpa takyif (menggambarkan rupa bentuk sifat) dan tanpa tamthil (mengumpamakan makna dengan sesuatu).

Bahkan, mereka (Ahli As-Sunnah Wal Jamaah) beriman, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak sebanding (Zat, Sifat-Sifat dan pentadbiran) Nya dengan sesuatu apapun, dan Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Mereka (Ahli Sunnah Wal Jamaah) tidak menafikan dari Nya apa yang Dia telah sifatkan diri Nya dengannya, mereka tidak mentahrifkan perkataan dari tempat-tempat (atau maksud) nya yang sebenar, mereka tidak mengilhadkan (menolak secara anti) nama-nama Alloh serta ayat-ayat Nya, mereka tidak membentukkan rupa makna dan mereka tidak mengumpamakan sifat-sifat Nya dengan sifat-sifat makhluk Nya, kerana sesungguhnya Alloh Subhaanahu wa Ta’ala tidak ada yang menyamai nama Nya, tidak ada yang menyetarai Nya, tidak ada yang menyekutui Nya dan tidak boleh dikiaskan Nya dengan makhluk Nya…”[4]

Jelas di sini I’tiqad Ibn Taimiyyah tidak mentajsimkan Alloh Subhaanahu wa Ta’ala sama sekali. Hendaklah difahami betul-betul Aqidah ahli Sunnah Wal Jamaah tentang sifat-sifat Alloh sebelum berkata sesuatu terhadap seseorang. Mereka (anti-wahabi) secara melulu keluarkan kenyataan bahwa Muhammad bin Abdul Wahab dan Ibn Taimiyyah sebagai Mujassimah, sedangkan apa yang di bawa oleh mereka adalah merupakan apa yang di bawa oleh ulama-ulama salaf seperti imam Hanafi, Imam Syafi’i, Imam maliki dan Imam Ahmad juga Imam Abu Hasan Al-Asy’ari dalam kitabnya Al-Ibanah.

Abu Hanifah berkata: “Alloh Subhaanahu wa Ta’ala tidak boleh disifati dengan sifat-sifat makhluk; Murka Nya dan Ridho Nya adalah dua sifat di antara sifat-sifat Nya tanpa takyiif. Inilah keyakinan Ahlus Sunnah Wal Jamaah yaitu Dia Murka dan Dia Ridho; Dan tidak boleh dikatakan Murka Nya itu adalah siksa-Nya, dan Ridho-Nya itu Ganjaran-Nya. Kita mestilah mensifati-Nya sebagaimana Dia sendiri yang mensifati diri-Nya; Al Ahad, As-Shomad, Lam Yalid Wa Lam Yuulad, Wa lam yakul Lahuu Kufuan Ahad. Dia Maha Hidup, Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Mengetahui, Tangan Alloh di atas tangan mereka, Tangan-Nya tidak (sama) sebagaimana tangan-tangan makhluk-Nya, dan Wajah-Nya tidak (sama) sebagaimana wajah-wajah makhluk-Nya”. [Al-Fiqh al-Absat, Hal. 56][5]

Imam Ibnu Al Qoyyim pula menyebut dalam kitab Ijtima’il Juyuusy Al Islamiyah bahawa Imam Al Syafi’i berkata: “Mengikut Sunnah yang aku berada di atas jalannya dan begitu juga aku melihat sahabat-sahabatku daripada kalangan Ahli Hadis yang aku mengambilnya daripada mereka seperti Sofyan dan Imam Malik dan lain-lain lagi, ialah: Ikrar (pengakuan) bahwa sesungguhnya Muhammad adalah pesuruh Alloh Subhaanahu wa Ta’ala, dan sesungguhnya Alloh adalah di atas `Arasy-Nya dilangit-Nya, Dia mendekati makhluk-Nya sebagaimana Dia kehendaki, dan Alloh turun ke langit dunia sebagaimana Dia kehendaki”. [Ijtima’ al-Juyuiusy al-Islamiyah; Hal. 165][6]

Antara tuduhan-tuduhan ke atas wahabi lagi adalah seperti wahabi adalah mazhab baru, wahabi menolak ulama, wahabi menyamakan Alloh Subhaanahu wa Ta’ala dengan makhluk, wahabi mengingkari syafaat Nabi, wahabi mengkafirkan orang yang tak sefahaman dengan mereka, wahabi membuat keganasan terhadap kubur di baqi’, wahabi sesat dan sebagainya.
Sebagai contoh terakhir, mereka (anti-wahabi) berkata wahabi membuat keganasan terhadap kubur Baqi’ di Madinah [7]. Padahal mereka menyedari di sana kubur-kubur tersebut telah ditinggikan dan dibinakan masjid di atasnya. Sedangkan Nabi melarang kubur-kubur di tinggikan apatah lagi di binakan masjid di atasnya. 

Sebuat atsar yang sahih diriwayatkan daripada Abdullah bin Hasanah berkata:
“Aku lihat ‘Usman bin ‘Affan rodhialloohu ‘anhu memerintahkan agar diratakan kubur”. Maka dikatakan kepadanya: “Ini kubur Ummu ‘Amr binti ‘Usman, maka beliau menyuruh agar diratakan”. [8]

“Dari Abi al-Hayyah al-Asadi berkata: Berkata kepadaku Ali bin Abi Tholib: Tidakkah aku mengutus engkau atas apa yang telah Rasulullah mengutusku? Janganlah dibiarkan satupun berhala kecuali engkau menghancurkannya dan tidak dibiarkan sebuah kuburpun kecuali engkau meratakannya”.[9]

“Dari Anas berkata: Rosululloh telah memakruhkan (makruh di sini bermaksud haram) membina masjid di antara kuburan”.[10] Dan “Daripada Ibrahim an-Nakh’i: sesungguhnya Nabi menegah orang yang mendirikan masjid di atas perkuburan”.[11] Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam juga bersabda: “Semoga Alloh Subhaanahu wa Ta’ala membinasakan Yahudi dan Nasrani yang menjadikan kubur para Nabi mereka sebagai masjid-masjid”[12].


[1] Surah al-Hujraat ayat 6.

[2] Anda sendiri boleh lihat betapa kejamnya mereka menuduh ulama-ulama salafi dengan memberi fatwa-fatwa dan dalil-dalil yang tidak tepat untuk membuktikan kesalahan wahabi. Mereka juga gemar memotong fatwa-fatwa menjadikan pendapat ulama-ulama salafi adalah dipihak yang salah. 
Antara lain blog-blognya: 
www.ahlsunnah.overblog.com ,  
www.bankwahabi.wordpress.com
www.abu-syafiq.blogspot.com

[3] Yaitu menjisimkan Alloh Subhaanahu wa Ta’ala.

[4] Rujuk -, Al-Aqidah Al-Wasitiyyah, Ibn Taimyyah, Tahqiq: Muhammad Ibn ‘Abd Al-’Aziz Ibn Mani’, Ar-Riasah Al-’Ammah Li Al-Ifta’, Riyadh, Arab Saudi, 1412H, Hal: 5-7. Dinukil dari pada Siapakah Ahli Sunnah Yang Sebenar? Oleh Dr. Azwira Abdul Aziz, hal 47.

[5] Dinukil daripada risalah ustaz Dr. Abdullah Yassin yang bertajuk Aqidah Imam Empat Adalah Satu. Risalah ini merupakan teks seminar 'Ahli Sunnah Wal Jamaah Arus Perdana', anjuran Gabungan Profesional Kelantan.

[6]  Ibid.

[7] Terdapat satu risalah yang bertajuk “Keganasan wahabi di Jannatul Baqi”. Mereka menyesatkan wahabi tidak lain dan tidak bukan mereka ingin di teruskan amalan khurofat di kubur-kubur wali, kononnya mereka ingin mendapat berkat dengan berdo’a dan bertawassul terhadap kubur-kubur wali.

[8] Diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah, Abu Zar’ah dengan sanadnya yang sahih dari Abdullah dan telah diwaridkan oleh Ibn Abi Hatim dalam “al-Jarah wa at-Ta’dil” Jilid 3, hal 81-82.

[9] Hadis Riwayat Muslim (3/61), Abi Daud (3/70), An-Nasa’i (1/128), at-Tirmizi (2/153-154), Al-Baihaqi (4/3), At-Tayalisi (1/168), Imam Ahmad (741), dan ada beberapa jalan pada Ibn Abi Syaibah dan at-Thobroni dalam as-Saghir hal 29.

[10] Riwayat Ibn Abi Syaibah (2/185)

[11] Riwayat Ibn Abi Syaibah (4/134)

[12] Riwayat Bukhori dan Muslim.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar