Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki
bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita
mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat
telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak
menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat
perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus
dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga
diumpamakan dengan wanita. Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan
tubuh badan di khalayak umum.
Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian
dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya
semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.
Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita
yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita
saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup
aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan.
Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja
pejabat-pejabat.
Tidak Lengkap dan Sempurna, Malah Menambahkan FITNAH
Tidak Lengkap dan Sempurna, Malah Menambahkan FITNAH
Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan
dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi
menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi
pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan
sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk
wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di
dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci
warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang
dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu
kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan
fitnah ke atas wanita.
Sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu
adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya (wibawa & kodratnya) sebagai
seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh
badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan
kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari
menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita
bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam
sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam
diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang
paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya.
Bertudung, tapi masih ingin bergaya.
Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak
membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa
dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan
syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita
laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?
Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang
bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang
bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang
masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya.
Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh
orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan
sebagainya. Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini.
Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat
melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung
atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak
bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi.
Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk
masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam
Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan
Islam. mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah
betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain.
Tudung Di Luar dan Dalam
Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi
Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah
lain tapi hanya melalui pakaian. Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus
memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya
mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari
diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak
boleh pakai tudung.
Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama,
perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam
(hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan
lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari
tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu
adalah antara mereka dengan Alloh.
Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah
itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran
adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu
dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka
bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka.
Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir
dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Alloh Subhaanahu
Wa Ta’ala sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada
ketentuan qada' dan qadar dari Alloh.
Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan
amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja.
Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat
suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji
dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan
maruah sebagai wanita Islam.
Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana
indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah
orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula
hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila
individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam
sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama
melalui pakaian.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar